Oleh W. Bolly Ongie //

RASMI: Dennis Ngau (tengah) memotong reben tanda perasmian rumah baharu. Kelihatan sama ialah (dari kanan) Akbar, Lalo dan Steward Wan (dua kiri).
PENDUDUK di Rumah Lalo Akang di Sungai Selejau, Melikat, kira-kira 15km dari Marudi, telah menerima pujian daripada ADUN Telang Usan Dennis Ngau kerana berjaya membina dan mendirikan sebuah rumah panjang baharu yang sangat cantik dan tersusun.
“Usaha penduduk, direalisasikan kejayaan fizikal rumah panjang tersebut, berdasarkan pengalaman yang lepas dan hasilnya rumah panjang yang dibina dengan konkrit ini cukup menarik,” jelas Dennis.
Beliau memberitahu demikian semasa merasmikan ulang tahun kedua rumah panjang 11 pintu itu, serentak dengan perasmian projek bekalan air sistem paip graviti dan sanitasi, petang Selasa lalu.
Mengenai projek sistem air paip graviti yang dibina oleh para pegawai dari Jabatan Kesihatan Marudi dengan kerjasama penduduk rumah panjang, Dennis memberitahu projek tersebut adalah idea seorang pegawai jabatan itu, Steward Wan yang merupakan anak tempatan Baram, yang kemudiannya memberi impak baharu kepada penduduk Rumah Lalo.
Sistem paip tersebut serupa dengan sistem yang dibuat di Long Naah oleh SEB dan hasilnya penduduk di kedua-dua rumah panjang tersebut kini sudah boleh menikmati air bersih.
Projek tersebut menelan belanja lebih daripada RM5,000 dan dibangunkan oleh Jabatan Kesihatan. Ia dibina dalam masa sebulan sahaja.
Berkenaan dengan projek itu juga, Dennis merayu Kementerian Kesihatan agar membina lebih banyak lagi projek yang serupa khususnya di kawasan Telang Usan, agar ia dapat mengganti paip yang sudah lama dan retak, sekali gus membolehkan penduduk di pedalaman dalam kawasannya turut menikmati bekalan air bersih yang berterusan.
Dalam pada itu katanya, para penduduk dari 30 buah rumah panjang di kawasan Poyut/Lubok Nibong tidak lama lagi akan mendapat bekalan air bersih dari loji rawatannya di Marudi.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Kesihatan (Persekitaran) Negeri Akbar Bedul, Pengarah Hospital Marudi Dr Merven Ian Sim Peng Chow dan Tuai Rumah Lalo Akang serta ketua-ketua masyarakat setempat dan pegawai Jabatan Kesihatan dari Kuching dan Marudi.