// Oleh Henrietta Liza //

BERSEMANGAT: Rombongan UCTS Sibu bersama warga RANDO dan bomba Serian bersemangat untuk memulakan gotong-royong di Serian.
MASYARAKAT Sarawak begitu prihatin dengan musibah banjir yang berlaku baru-baru ini di Serian.
Menurut kenyataan dari Pejabat Residen Bahagian Serian, bahagian tersebut menghadapi keadaan paling buruk apabila sebahagian daripada kawasan tersebut dinaiki air.
Sehingga 22 Pusat Pemindahan (p.p) dibuka menempatkan lebih daripada 8,000 orang mangsa dan menyebabkan banyak kerugian harta benda.
“Kurang daripada 24 jam banjir gelombang pertama surut, Serian dikejutkan semula dengan banjir gelombang kedua yang menggenangi Serian bermula 26 Februari.
“Mujur ia tidak seburuk banjir gelombang pertama dan hanya empat pusat pemindahan dibuka,” katanya.
Seakan terpanggil, pelbagai pihak tidak kira badan kerajaan mahupun NGO, secara sukarela turun menghulurkan bantuan dan sumbangan.
Pejabat Daerah Serian selaku Urus Setia Bencana Daerah tidak putus-putus menerima permintaan daripada pihak luar daripada Serian untuk mengadakan gotong-royong serta manghulurkan sumbangan bagi meringankan beban mereka yang terjejas.
Meskipun sibuk dengan urusan mengendali rutin kerja hakiki, Pejabat Daerah Serian melalui Kelab RANDO Serian turut tidak ketinggalan mengadakan kerja-kerja gotong-royong yang turut disertai warga University College of Technology Sarawak (UCTS), Sibu baru-baru ini.
Rombongan UCTS Sibu yang diketuai oleh Ketua Pendaftaran dan Hal Ehwal Akademik, Mohamed Azmi Ramli yang disertai seramai 48 orang pelajar dan kakitangan insitusi itu tiba di Serian awal sehari sebelum program dijalankan.
Sebagai salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR), kedua-dua pihak bersetuju untuk mengadakan gotong-royong pasca banjir di Kampung Hulu Serian, yang merupakan antara kawasan yang paling teruk terjejas akibat banjir.
Gotong-royong diadakan di Surau Kampung Hulu Serian dan Dewan SUKMAS Kampung Hulu Serian.
Majlis Daerah Serian dan Bomba dan Penyelamat Serian juga turut serta dalam gotong-royong tersebut.
“Penglibatan pelbagai pihak seperti Bomba dan Penyelamat Serian dapat melancarkan gotong-royong dijalankan. Ini kerana kebanyakan tempat diselaputi lumpur yang tebal dan pancuran air yang deras mengguna pili bomba memudahkan kerja-kerja pembersihan,” kata Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Serian, John Ilus.
Pihaknya perlu melalui perjalanan yang jauh dari Sibu ke Serian, tapi kita amat berbangga kerana dapat menyumbang sesuatu kepada komuniti di Kampung Hulu Serian yang telah dilanda banjir baru-baru ini, tambahnya.
Program seumpana ini sedikit sebanyak dapat memberi impak yang positif kepada para pelajar dan kakitangan UCTS yang turut serta agar sentiasa menanam sifat solidariti sesama masyarakat apatah lagi apabila ada antara mereka yang ditimpa musibah,” jelas Mohamed Azmi lagi.
Dalam pada itu, Sinde Muling, Pegawai Daerah Serian merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Serian mengucapkan penghargaan kepada semua pihak yang sudi menabur bakti dan jasa kepada mangsa banjir tidak kira sumbangan berbentuk wang ringgit, harta benda, pek-pek makanan, sumbangan tenaga dan sebagainya.
Beliau nyata amat terharu dan teruja di atas sumbangan yang disalurkan, dan ia sekali gus menepis dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan tiada siapa yang peduli apabila Serian ditimpa musibah.
Pada hari berikutnya, Persatuan Bekas Pelajar MRSM (ANSARA) menerusi program ANSARA Kasih turut menghantar sumbangan makanan kering, keperluan harian dan beras kepada penduduk di Kampung Hilir Serian.
Sebanyak 250 pek makanan kering serta keperluan harian dan 50 kampit beras telah disumbangkan. ANSARA yang diwakili Exconya, Profesor Muhammad Sadruddin dan Ahmed Akmal, Exco ANSARA Kasih.
Rombongan ANSARA Kasih turut disertai oleh ahli-ahlinya dan pelajar UNIMAS kemudiannya turut mengedarkan sendiri pek makanan dan keperluan harian kepada penduduk kampung.
“Meskipun sumbangan yang kita beri tidaklah seberapa, namun harapan kami agar sumbangan kita ini dapat memberi gambaran kepada penduduk yang terjejas banjir bahawa mereka tidak bersendirian,” katanya.
“Sumbangan yang kita edarkan hari ini juga merupakan sumbangan daripada beberapa pihak yang tidak mahu didedahkan identitinnya,” kata Muhammad.

GOTONG-ROYONG: Para peserta bergotong-royong membersihkan Dewan Kampung Hulu Serian.