Quantcast
Channel: Rencana – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 455

Sukarelawan HOPE, SCCC agih sumbangan makanan di SK Kambug

$
0
0

// Oleh Henrietta Liza //

TERIMALAH: Sukarelawan SCCC (kiri) menyampaikan dua kotak Pizza Hut kepada salah seorang penerima di SK Kambug, baru-baru ini.

TERIMALAH: Sukarelawan SCCC (kiri) menyampaikan dua kotak Pizza Hut kepada salah seorang penerima di SK Kambug, baru-baru ini.

PENDUDUK kampung di kawasan pedalaman Padawan meluahkan rasa syukur dengan program sumbangan makanan kepada pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Kambug, Padawan buat kali ketiga, baru-baru ini.

Sumbangan makanan tersebut telah diagihkan oleh sukarelawan HOPE Worldwide Malaysia dan Swinburne Charity Cruiser Club (SCCC) tajaan World Hunger Relief Malaysia.

Martha Sika, 30, dari Kampung Assum ketika ditemui menyatakan rasa senang hati beliau setelah mendapat sumbangan tersebut dan menerusinya juga beliau berkesempatan untuk bersua muka dengan rakan-rakan serta sanak-saudara yang telah lama tidak berjumpa.

“Kami memang tinggal di kampung yang berdekatan tetapi jarang dapat berjumpa seperti ini dan duduk bersama-sama. Saya ada dua orang anak yang masih bersekolah di sini,” katanya pada Program Sumbangan Makanan kepada Komuniti Luar Bandar di Padawan.

Beliau juga berterima kasih kepada kerajaan kerana menyediakan keperluan asas seperti bekalan elektrik sejak setahun yang lalu namun masih ramai di kalangan penduduk kampungnya bergantung kepada air graviti dari kawasan pergunungan.

Sementara itu, Pawun Mayab, 60, dari Kampung Kiding berasa gembira berbaur sedih dengan pemberian kepada anaknya itu.

Ada juga rasa susah hati, isteri saya sudah dua kali dibedah dan akan dibedah sekali lagi selepas ini…saya tidak tahu sekiranya beliau akan sembuh sepenuhnya.

“Itulah saya berasa susah hati, lagipun saya tidak mempunyai pekerjaan hanya bergantung harap dengan bertani…namun saya sangat berterima kasih dengan sumbangan ini.

“Seorang anak lelaki saya bersekolah di SK Kambug. Memang ada susah sedikit untuk memberi belanja kepada anak yang bersekolah kerana kami orang miskin,” katanya kepada pemberita.

Sementara itu Dangnup Vawing, 44, dari Kampung Kamas begitu gigih menggalas bakul kaum Bidayuh yang dipanggil ‘tambuk’ berjalan sejauh setengah jam untuk sampai di lokasi tersebut dari rumah beliau.

“Tidak terasa sangat untuk berjalan sejauh itu kerana sudah menjadi kebiasaan…tetapi anak saya tinggal di asrama sewaktu hari sekolah, cuma pada hujung minggu sahaja dia akan balik ke rumah kami.

“Anak saya, Yii Ing Ing, 12, bersekolah di SK Kambug dalam Tahun 6 tetapi keluarga kami juga susah kerana saya hanya bertani dan ibu saya pula terlantar di rumah akibat sakit lumpuh.

“Punca mata pencarian kami adalah dengan menanam padi untuk mendapatkan beras, itupun tidak cukup kadang-kadang. Bersyukur juga kerana ada pihak yang mahu menyumbang untuk kami meneruskan kehidupan ini,” ujarnya.

SK Kambug mempunyai seramai 153 pelajar bermula dari pra-sekolah sehingga Tahun 6 dari Kampung Sapit, Kampung Kiding, Kampung Assum, Kampung Kakas, Kampung Kamas dan Kampung Parang.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Guru Besar SK Kambug, Lawrence Steve, Yang DiPertua PIBG SK Kambug, Doris Tiot dan sukarelawan HOPE Worldwide Malaysia, Stephen George dan isteri Yong Li Kean.

SERONOK: Seronok dapat menjamu selera bersama-sama.

SERONOK: Seronok dapat menjamu selera bersama-sama.

UNTUK KENANGAN: Ibu bapa dan anak masing-masing bergambar bersama sukarelawan SCCC dan HOPE Worldwide Malaysia pada program sumbangan makanan di SK Kambug, baru-baru ini.

UNTUK KENANGAN: Ibu bapa dan anak masing-masing bergambar bersama sukarelawan SCCC dan HOPE Worldwide Malaysia pada program sumbangan makanan di SK Kambug, baru-baru ini.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 455

Latest Images

<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>