Quantcast
Channel: Rencana – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 455

Tarikan industri spa bagi warga bandar

$
0
0

Oleh Sakini Mohd Said//

KESIBUKAN bekerja sehingga sembilan jam dan ada kalanya melebihi tempoh itu selain statik menghadap skrin komputer seharian, boleh mengundang keletihan serta tekanan buat sesiapa sahaja.

Apatah lagi, dengan rentak kehidupan hari ini yang penuh mencabar, komitmen dan gaya hidup tidak aktif juga boleh mendedahkan seseorang individu itu kepada pelbagai bentuk tekanan.

Tidak dinafikan, ia adalah perkara lumrah dalam kehidupan setiap manusia yang tidak dapat lari daripada berhadapan tekanan sama ada tuntutan sebagai pelajar, pekerja atau apa-apa sahaja.

Cuma, agak membimbangkan sekiranya keadaan ini dibiarkan berterusan dan tidak terkawal ia berisiko menjejaskan kesihatan fizikal, emosi seperti aspek kecerdasan, kesejahteraan dan tenaga, kata Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari.

“Apabila seseorang itu menghadapi tekanan, akan berlaku tindak balas dari sudut sistem biologi (saraf, darah). “Walaupun dianggap masalah psikologi, tetapi tekanan juga boleh mengganggu sistem badan fizikal,” kata pakar perunding psikiatri Universiti Malaya kepada Bernama.

“Ini menyebabkan ada yang sakit kepala, sakit belakang dan boleh jadi pemarah.”

Tekanan yang dihadapi ini perlu ditangani segera kerana akan menjejaskan kualiti kehidupan dan ini boleh diatasi dengan melakukan perkara-perkara positif atau yang disukai.

Antaranya meluangkan masa pergi melancong, beriadah, bermain sukan mahupun mengunjungi pusat rawatan spa, yang menjadi gaya hidup masyarakat hari ini.

Dan, ini yang dilakukan oleh gadis kelahiran Gombak, Samsia Samsi, 29.

Memilih perkhidmatan spa sebagai alternatif untuk lari seketika daripada hiruk-pikuk kota raya dan meredakan tekanan, Samsia telah menjadikannya sebagai aktiviti rutin setiap bulan.

Baginya, tekanan yang dihadapi dan rasa kepenatan bekerja bagaikan hilang begitu sahaja sebaik saja melihat keunikan dekorasi dan mendengar alunan lagu instrumental spa yang begitu mengasyikkan.

“Bagi menghilangkan tekanan, saya lebih suka datang ke sini. “Tambahan pula, pekerjaan saya yang sentiasa keluar dan agak lasak, membuatkan ada ketikanya berasa tertekan dan kulit kusam,” katanya.

 

REHATKAN KAKI: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman diberi urutan refleksologi oleh seorang pelatih cacat penglihatan selepas beliau merasmikan Pusat Reflexology dan Spa Taman Cahaya di Kompleks Penyayang dekat Sandakan baru-baru ini. — Gambar Bernama

ATASI KETEGANGAN

 

“Sebagai wanita, tentu kita ingin sentiasa cantik, jadi mengurut dan rawatan wajah dapat meredakan ketegangan urat dan wajah kembali segar. “Lagipun, inikan sudah lama diamalkan sejak nenek moyang kita lagi,” katanya.

Beliau yang bekerja di syarikat swasta, berpendapat kewujudan pelbagai spa di mana-mana sahaja sama ada urutan tradisional Melayu, Bali mahupun Thailand memudahkannya mendapatkan rawatan tanpa perlu pergi ke kampung-kampung.

“Sesiapa sahaja boleh pergi spa dan tidak lagi hanya untuk orang kaya kerana harga sudah berpatutan,” katanya.

Bukan hanya Samsia, tetapi sudah ramai masyarakat hari ini tanpa mengira jantina mahupun batasan umur menjadikannya sebagai tumpuan hujung minggu atau pada masa lapang sebagai alternatif merehatkan minda.

Hal ini disokong dengan terdapatnya percambahan jumlah kelahiran pusat rawatan ini di seluruh negara dari semasa ke semasa, yakni terdorong oleh peningkatan memberang-sangkan.

Biarpun dikatakan industri spa di negara ini sedikit terlambat direncanakannya berbanding Thailand mahupun Indonesia, namun ia sekarang menunjukkan perkembangan positif dalam pacuan yang begitu agresif.

Malahan, nilai ekonominya adalah tinggi memandangkan tarikan industri ini dilihat dapat merancakkan pertumbuhan ekonomi negara menerusi sektor pelancongan, sama ada domestik mahupun global.

“Masyarakat mulai sedar bahawa dengan mendapatkan rawatan spa maka kestabilan kesihatan dalam dan luar dapat dikecapi serta dikawal dengan lebih sempurna.

“Sepertimana yang kita sedia maklum, dengan hanya urutan selama 45 minit, sistem imun badan manusia boleh bertambah baik,” kata Presiden Persatuan Spa Malaysia (AMSPA) Norliza Othman. “Rawatan spa mampu melegakan kekejangan otot dan fikiran yang berserabut.”

Justeru, tidak menghairankanlah apabila laporan berita sebelum ini ada menyatakan industri spa negara dijangka mampu menjana sebanyak RM666.2 juta kepada pendapatan negara kasar.

Selain mewujudkan kira-kira 6,000 peluang pekerjaan menjelang tahun 2020. (Berdasarkan data laman sesawang Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan).

Pertumbuhan pesat ini jugalah yang menjadi faktor atau daya tarikan utama pengendali pusat spa di Sri Gombak ini, Yantie Samsuri nekad berkecimpung dalam bidang kecantikan dan spa sebaik sahaja tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

 

PERSAINGAN SENGIT

 

Tidak kisah untuk belajar dari bawah dan tidak pernah kenal istilah putus asa, menjadi resipi kejayaan beliau sehingga mampu memiliki premis sendiri selepas berke-cimpung hampir 14 tahun dalam industri ini.

Dinamakan ‘Airish Beauty & Spa, pusat ini yang menawarkan pelbagai perkhidmatan rawatan kecantikan dan urutan, sentiasa menjadi tumpuan pelanggan sekitar kawasan Gombak.

“Sudah menjadi trend segelintir besar masyarakat mengunjungi pusat spa untuk mengembalikan kecergasan tubuh dan memanjakan diri. “Disebabkan itulah, saya masih dapat bertahan sehingga ke hari ini,” katanya.

Tidak mengambil remeh aspek berkaitan kualiti berikutan kewujudan lambakan pusat spa, kelainan juga amat dititikberatkannya dalam menghadapi persaingan sihat.

Contohnya, terdapat pelbagai jenis urutan yang disediakan di sini merangkumi urutan batu (sangat digemari), totok, boreh, urutan Bali, Jepun, Swedish dan tidak terkecuali rawatan wajah dan badan.

Jadi, tidak mustahil apabila usahanya selama ini tidak sia-sia apabila terpilih sebagai antara 13 spa terbaik dalam sebuah majalah tempatan, Pesona Pengantin, edisi khas bulan Novermber tahun lepas.

Dalam masa yang sama, peluang yang terbuka luas ini adalah satu ruang terbaik bagi golongan seperti ibu tunggal atau mereka yang kurang berkemampuan untuk terlibat dalam industri spa.

Apatah lagi, ketika ini menyaksikan pelbagai agensi kerajaan turut menawarkan latihan kepada kumpulan sasar ini menjalankan perniagaan kecil dalam bentuk ‘home based’ atau ‘mobile spa’.

“Terapi spa berkemahiran tinggi warga tempatan masih lagi kurang dalam memenuhi permintaan semasa. “Akan tetapi, dengan wujudnya program terapi spa yang berterusan, saya pasti kekosongan akan diisi dengan lebih cepat,” kata Norliza.

Komitmen kerajaan dalam merancakkan potensi industri ini digerakkan melalui Program Latihan Terapi Spa yang telah diperkenalkan oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan pada 2012.

Selain program ini, AMSPA iaitu persatuan di peringkat kebangsaan yang juga anggota Majlis Spa Kebangsaan turut berkolaborasi dengan institusi kerajaan seperti GiatMara menerusi penyediaan ruang latihan di mana-mana spa kepunyaan anggota (AMSPA).

Pelaksanaan langkah ini, membantu mengurangkan kebergantungan juruterapi spa asing sejajar dengan keputusan Kementerian Dalam Negeri untuk memberhentikan pengajian juruterapi spa asing bermula 1 Januari, 2017. — Bernama

 


Viewing all articles
Browse latest Browse all 455

Latest Images

<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>