Oleh Mastura Ismail //

GOTONG-ROYONG: Orang ramai yang tampil menjayakan program gotong-royong pascabanjir anjuran Komuniti 1Malaysia Kampung Batu Danau di Limbang baru-baru ini.
LUMPUR tebal, becak dan kotor tidak mematahkan semangat pelbagai pihak membabitkan pihak NGO, agensi kerajaan dan persatuan dalam meneruskan misi bantuan membersihkan kawasan terjejas banjir di Limbang.
Atas dasar semangat kerjasama, perpaduan dan bantu-membantu banyak pihak tampil menjayakan program gotong-royong pascabanjir anjuran Komuniti 1Malaysia Kampung Batu Danau baru-baru ini.
Program tersebut dijalankan di beberapa kawasan terjejas banjir membabitkan Dewan Persatuan Bisaya Sarawak (PBS), Anjung Komuniti 1Malaysia Batu Danau, Bangunan Pusat Sumber Kampung Batu Danau dan Dewan Masyarakat Kampung Pengkalan Madang.
Program kemasyarakatan itu dijalankan dengan kerjasama PBS, Pemuda PBB, Jabatan Penerangan Limbang, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Limbang.
Turut sama ialah Pegawai Penerangan Bahagian Koh Kumbong, Pegawai Penerangan Daerah Linda Padan, ketua masyarakat, ketua kerajaan dan penduduk setempat.
Komuniti 1Malaysia Kampung Batu Danau turut menghargai penglibatan semua pihak dalam menjayakan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan-kawasan yang terjejas dengan banjir itu.
Program yang bermula jam 9 pagi itu diteruskan sehingga jam 2 petang di kawasan-kawasan yang terjejas membabitkan kawasan luar dewan hingga di dalam dewan.